Rabu, 26 Ogos 2009

ISU PENGHAYATAN ISLAM

KEMERDEKAAN; RAHMAT DAN REZEKI DARI ALLAH

Tatkala mengimbau kembali catatan di lembaran sejarah, betapa perit dan deritanya pejuang-pejuang bangsa sama ada di zaman Tok Janggut, Ibahim Limbong dan Dol Said (sekadar menyebut beberapa nama) dalam keinginan untuk membebaskan bangsa dan tanah kita dari dijajah orang asing. Hinggalah ke saat-saat akhir detik kemerdekaan dicapai, betapa sang cerdik pandai bekerjasama memerah otak dan tenaga untuk mendapatkan kemerdekaan yang bermakna. Generasi masa itu melihat, mendengar, merasa dan berjuang dengan jiwa raga mereka. Apakah sama dengan pemikiran dan perasaan generasi anak merdeka tentang kemerdekaan yang telah sedia ada?

kemerdekaan negara adalah rahmatdan rezeki dari allah.50 tahun adalah usia yang cukup mematangkan anak-anak merdeka menimba ilmu, mencari harta, membina masyarakat dan membangunkan negara. Tidak sia-sia usaha pemimpin dan rakyat jelata dahulu berganding bahu berusaha mencari jalan bagaimana untuk membebaskan Tanah Melayu ini dari genggaman orang luar setelah sekian lama mereka bertukar tangan di bawah penjajahan. Dari bentuk-bentuk agresif hinggalah ke bentuk perundingan berhemah. Proses yang bersungguh-sungguh itu membuahkan hasil dan dengan izin Allah SWT kemerdekaan itu milik kita, lebih dahulu dari negara lain yang turut sama dijajah oleh bangsa Eropah yang lain. Maka rasa kesyukuran dan kehambaan perlulah kita panjatkan kepada-Nya. Kerana Dialah yang berkuasa di atas segala-galanya.

Kita menyebut dan membincangkan perkara-perkara yang menakutkan dan menggerunkan ini supaya kita berfikir secara realistik dan tidak berangan-angan terlalu jauh sampai kita tidak mahu mendengar atau menyebut kemungkinan yang buruk. Sedangkan perkara-perkara yang kita anggap kecil atau terpencil mungkin menjadi barah yang akhirnya apabila kita sedar ianya sudah kronik dan tidak dapat dirawat lagi. Dan mungkin perkara-perkara itulah yang menyebabkan kita kehilangan harga dan nilai sebuah kemerdekaan. Kalau kita tidak mahu memikirkan apa yang akan terjadi pada masa depan cukuplah kita mengambil iktibar dengan masa yang lalu, menganalisa sebab-musabab keruntuhan tamadun, kehancuran empayar dan kejatuhan kerajaan-kerajaan masa lampau. Apa yang kita perhatikan kejatuhan, keruntuhan dan kebinasaan disebabkan oleh beberapa perkara dan kebiasaannya disebabkan oleh perebutan kuasa sesama sendiri, mereka yang menjadi gunting dalam lipatan, anak bangsa yang sudah lupa dengan jati diri dan nilai tatasusila agama serta budaya murni dan sebagainya walaupun negara dalam kemewahan dan kegemilangan. Maka kita takut sejarah seperti itu berulang kembali, ’takut Melaka jatuh ke tangan Portugis sekali lagi’, ’takut Tanah Segenting Kera diserahkan kepada Siam buat kali keduanya’ dan ’takut negeri-negeri Selat diberi kepada British ke sekian kalinya’. Walaupun orang menyatakan hidup ibarat roda sekali di atas sekali di bawah, yang bernyawa pasti mati, tetapi janganlah kita menjadi roda yang terlalu cepat haus permukaannya atau menjadi kulit yang berkedut sebelum tua usianya.

Kesimpulannya, apa yang kita bicarakan di sini adalah untuk kita menyedari bahawa kemerdekaan itu adalah anugerah, rezeki, rahmat dan nikmat dari Allah. Yang wajib kita syukuri, sekaligus berusaha menghargai dan menilai sejarah lalu menjadikannya tauladan dan sempadan agar kemerdekaan itu mampu dikekalkan selama mungkin sama ada secara hakikat atau rohnya, fizikal atau spritualnya, tanahnya atau jatidiri bangsanya.

1 ulasan:

  1. salam Faezah.

    saya tertarik dengan artikel tersebut. Sebenarnya kemerdekaan yang kita perolehi adalah berkat usaha daripada pejuang-pejuang dahulu dalam mempertahankna tanah air daripada di ambil oleh penjajah Barat. Oleh itu, untuk menghargai kemerdekaan seharusnya sebagai rakyat yang mencintai tanah air,ia mestilah menjaga dengan bersungguh-sungguh kemerdekaan tanah air supaya berkekalan selamanya.

    BalasPadam