Rabu, 26 Ogos 2009

ISU POLITIK ISLAM

Persoalan sekarang adalah apakah benar telahan awal Barat serta sekutunya bahawa Islam dan politik Islam adalah tidak sesuai dengan proses demokrasi? Malahan tuduhan bahawa politik Islam yang seringkali digembar-gemburkan sebagai anti-demokrasi kembali menjadi persoalan pokok. Ruang bernafas yang diberikan kepada gerakan Islam di kebanyakan dunia Islam untuk turut terlibat dalam proses demokrasi sejak awal tahun 1980’an kini kembali dinafikan seperti mana yang sedang berlaku di Mesir, Algeria, Tunisia, Turki dan Jordan.

Contoh kedudukan beberapa gerakan Islam dalam proses percaturan politik di dunia Islam, jelas menunjukkan bahawa dikebanyakan negara-negara umat Islam tidak wujud sebarang bentuk perjalanan demokrasi dalam ertikata yang boleh diterima oleh Barat ataupun pertubuhan hak asasi manusia. Tetapi kebanyakan kerajaan ini terus menerus ‘dipertahankan’ oleh Barat kerana kepentingan geografi yang strategik bagi menjamin masa depan Israel serta ekonomi minyak dan gas yang menjadi sumber terpenting bagi perkembangan industri dunia.

Pada hakikatnya penglibatan politik Islam dalam proses demokrasi adalah lebih merupakan satu proses berorientasikan ‘safety valves’ di mana selagi politik Islam dilihat sebagai tidak menjadi ancaman kepada golongan ‘establishment’ yang berkuasa maka selagi itulah mereka akan dibenarkan turut terlibat dalam proses demokrasi. Garis pemisah telah ditetapkan kepada politik Islam di dalam kerangka demokrasi itu sendiri.

Apa yang berlaku di Turki dan Algeria adalah contoh terbaik di mana penglibatan politik Islam dalam proses demokrasi telah dianggap sebagai ‘ancaman’ kerana telah dianggap melampaui garis pemisah yang telah ditentukan oleh golongan establishment. Apabila dirasakan kepentingan mereka tergugat maka dengan mudah dilemparkan tuduhan bahawa jika politik Islam dibenarkan terlibat dalam proses demokrasi mereka sendiri akan menghancurkan demokrasi itu.

Banyak contoh-contoh yang membuktikan bahawa politik Islam sanggup bergerak di bawah bidang kuasa dan undang-undang yang ada, tetapi mereka telah dinafikan segala hak yang ada di dalam sistem demokrasi itu sendiri seperti yang berlaku di Tunisia, Moroko, Algeria dan baru-baru ini di Turki. Negara-negara seperti Yaman, Pakistan dan Malaysia di mana politik Islam dibenarkan bergerak di dalam proses demokrasi dan pilihanraya, mereka telah dapat membuktikan suatu sikap dan tanggungjawab yang amat tinggi serta menghormati prinsip-prinsip demokrasi itu sendiri.
Walaubagaimanapun, di tempat-tempat di mana politik Islam hampir-hampir dapat mengambil alih kuasa politik melalui proses pilihanraya, prinsip demokrasi pula telah dicabuli oleh golongan elit yang berkuasa. Ini menampakkan seolah-olah ada perancangan rapi supaya politik Islam hilang kepercayaan mereka terhadap sistem demokrasi dan mengambil sikap konfrantasi dan keras terhadap pemerintah. Nampaknya bagi politik Islam, apabila ianya mendapat sokongan yang ramai ianya akan menjadi satu dosa yang perlu dikenakan hukuman yang berat oleh golongan sekular dan Barat. Inilah yang telah berlaku di Algeria, Mesir dan Turki.

1 ulasan: