Selasa, 11 Ogos 2009

ILMU-ILMU ISLAM

Kini, semakin ramai ibubapa yang mahu anak-anak mereka mendapat pendidikan di sekolah-sekolah aliran agama. Para ibubapa telah mempunyai kesedaran bahawa betapa pentingnya anak-anak dididik dengan ilmu agama sejak dari awal usia. Bermula dari peringkat sekolah rendah hinggalah ke peringkat menengah. Sekolah agama peringkat rendah mengajar tentang asas-asas fardhu ain seperti berwudhuk, bacaan-bacaan dalam solat, pembinaan akhlak mulia dan banyak lagi. Di peringkat menengah pula pengajaran dalam bidang agama lebih mendalam daripada sekolah menengah kebangsaan. Jika di sekolah menengah kebangsaan, hanya menyediakan subjek Pendidikan Islam dan Bahasa Arab komunikasi. Berbeza dengan sekolah menengah agama yang menyediakan subjek Syariah, Usulluddin dan Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah, Tauhid, Mantiq dan banyak lagi. Dengan ini, anak-anak akan lebih memahami dan mendalami akan ilmu-ilmu Islam.Selain mempelajari ilmu-ilmu agama secara formal, ilmu-ilmu agama ini juga boleh diperolehi dripada institusi yang bukan fomal. Contohnya seperti mengikuti pengajian di masjid dan berguru dengan orang-orang alim. Ia merupakan satu usaha yang amat baik dalam mendalami ilmu-ilmu agama kerana tidak semua orang mempunyai keinginan untuk mendalaminya.

Kini, banyak institusi swasta yang muncul untuk menampung permintaan dalam bidang agama. Sebagai umat Islam, kita mempunyai pilihan samada untuk lebih mendalami bidang ilmu-ilmu Islam atau sekadar hanya memerhatikannya dari jauh dan membiarkan non-muslim mendalami ilmu-ilmu Islam untuk menyerang umat Islam semula.

Seharusnya umat Islam lebih peka dengan musuh-musuh Islam yang cuba menghacurkan Islam secara halus. Oleh itu, umat Islam perlu mendalami ilmu-ilmu Islam sebagai satu benteng agar umat Islam tidak mudah kalah apabila musuh-musuh Islam menyerang Islam. Menuntut ilmu adalah dikira sebagai satu jihad ke jalan Allah s.w.t. Pada masa kini, teknologi maklumat merupakan satu senjata yang boleh membawa kebaikan dan juga keburukan dalam masa yang sama. Siapa yang menguasai teknologi maka ia akan berjaya menguasai pihak lain. Bidang teknologi maklumat juga boleh diaplikasikan dalam bentuk Islam apabila ia dikendalikan menurut perspektif Islam. Melaluinya Islam boleh disebarkan ke seluruh dunia tanpa sebarang had dan sempadan. Oleh itu, perlunya umat Islam menguasai bidang teknologi maklumat untuk menyebarkan dakwah Islamiyyah dan mempertahankan Islam daripada diceroboh pihak musuh.Kesimpulannya, umat Islam perlu menguasai pelbagai cabang ilmu, samada ilmu agama ataupun bukan. Ini kerana, dengan ilmulah sesuatu masyarakat itu maju, dipandang tinggi dan tidak mudah diceroboh seterusnya melahirkan masyarakat Islam yang unggul.

1 ulasan:

  1. ilmu islam itu luas...kita perlulah sabar dalam mencari ilmu tersebut..

    BalasPadam