Selasa, 11 Ogos 2009

EKONOMI ISLAM

Hal ini bukan sahaja berlawanan dengan ajaran Islam, malah menjejaskan iman seseorang Muslim. Pusat-pusat membeli-belah dan syarikat-syarikat korporat kini mula menggunakan sambutan Aidil Fitri untuk mengiklankan produk dan khidmat mereka.

Terbaru, di akhbar tempatan terdapat syarikat yang menjual perabot dan barangan elektrik mula mengiklankan produk mereka dengan kata-kata “Syawal Mega Sale!” dan “Jualan Syawal Mega!”, sedangkan kita masih berada di bulan Rejab dan dua bulan lagi iaitu Syaaban dan Ramadhan untuk dilalui sebelum menyambut Aidil Fitri.

Kami yakin apabila tiba pula Ramadhan nanti, akan bertambahlah lagi pusat-pusat membeli-belah yang akan mempromosikan jualan dengan pelbagai slogan untuk menarik umat Islam dan pengguna membeli- belah seperti yang berlaku pada 2005 apabila terdapat iklan “Buka Puasa Contest”.

Seperti tahun-tahun lepas, kami mendapati pusat-pusat beli-belah sering dipenuhi dengan pembeli-pembeli pada setiap malam, sedangkan mereka sepatutnya memenuhi masjid dan surau untuk menunaikan solat tarawih.

Mereka yang berpendapatan rendah sering turut terpengaruh oleh iklan-iklan agresif sehingga memerangkap mereka untuk membeli barangan mahal yang sebenarnya tidak perlu dan membazir yang akhirnya terheret dalam hutang yang membebankan.

Akibatnya, sumber dan pendapatan mereka yang sangat terbatas - lebih-lebih lagi dalam keadaan harga minyak yang mahal serta harga barangan yang semakin meningkat ini - menyebakan ia disalurkan dan terhakis kepada penggunaan yang membazir dan tidak berguna.

Media cetak dan elektronik nampaknya turut menyumbang kepada berkembangnya dalam kalangan masyarakat budaya hedonisme dan materialisme di dalam bulan suci Ramadhan dan Syawal melalui iklan agresif yang licik untuk mempengaruhi minda, selera dan nafsu pelanggan termasuk acara hiburan yang melanggar syarak.

Ramadhan dan Aidil Fitri menjadi kesempatan untuk merangsang pengguna kepada tabiat penggunaan yang berlebihan.

Filem, drama, dan program sukan di TV disiarkan pada setiap malam melekakan masyarakat daripada pergi ke masjid dan surau.

Golongan lelaki, wanita, belia dan kanak-kanak turut didedahkan kepada keganasan, jenayah, dan tingkah laku tidak berakhlak melalui pelbagai siaran di saluran TV pada waktu maghrib, isyak dan seluruh malam sedangkan mereka sepatutnya menggunakan waktu itu untuk memperbanyakkan solat dan membaca al-Quran.

Namun, sebaliknya umat Islam kini didorong untuk berbelanja dan menggunakan secara berlebihan dan membazir sedangkan sumber ekonomi masyarakat Islam amat terbatas. Hal ini berleluasa setiap kali tiba bulan Ramadhan dan sambutan Aidil Fitri.

2 ulasan:

  1. Sepatutnya bulan ramadhan inilah dijadikan medan utk berjimat cermat...ttp krn dorongan nafsu yg begitu kuat,masyarakt boros berbelnja sehingga lalai melaksanakn ibadt di bulan ramadhan ini..amat rugilah jika terlalu mengikut kata hati...

    BalasPadam